Makna Warna Logo

Merah : Keberanian dan keharmonian
Biru : Kekuatan dan semangat kerjasama
Gabungan
Merah dan Biru
: Warna korporat Kementerian Kesihatan Malaysia
Hitam : Ketabahan dan kerahsiaan

Makna Simbol Logo

Huruf H Berjalur : Menunjukkan Blok Utama 11 tingkat beserta bumbung
Huruf Q : Melambangkan keutamaan terhadap kualiti
HTAA : Singkatan daripada perkataan Hospital Tengku Ampuan Afzan

01 Setiap pelanggan akan menerima rawatan, penjagaan perubatan yang selamat, profesional dan berkualiti di hospital ini.

02 Setiap pelanggan yang memerlukan rawatan khusus yang tidak terdapat di hospital ini akan dirujuk ke hospital yang sesuai.

03 Setiap pelanggan diberi jaminan bahawa kemuliaannya akan dipelihara semasa menerima rawatan. Segala maklumat mengenai pelanggan, penyakit dan rawatannya akan dirahsiakan dan hanya akan dimaklum kepada pihak tertentu dengan keizinan pelanggan terlebih dahulu tertakluk kepada undang-undang.

04 Setiap pelanggan akan dilayan dengan baik, mesra, bertimbangrasa, cekap dan amanah.

05 Setiap pelanggan atau waris akan diberi makluman yang jelas tentang keadaan, penyakit dan rawatan termasuk risiko yang berkaitan.

06 Setiap pelanggan digalak untuk mengemukakan sebarang cadangan kepada pengurusan hospital untuk tindakan sewajarnya.

Misi

Bagi mencapai wawasan, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akan melaksanakan perkhidmatan dengan berlandaskan semangat  Profesionalisma, Khidmat Penyayang dan Kerja Berpasukan yang tinggi sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Visi

Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan berazam untuk menjadi sebuah pusat pengendalian penjagaan kesihatan yang cemerlang.

 

Objektif

Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akan berusaha untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cekap, berkemampuan dan saksama kepada semua golongan masyarakat melalui penggunaan teknologi yang sesuai serta memenuhi kehendak alam sekitar dan kehendak pelanggan; dengan penekanan kepada kualiti, inovasi, promosi kesihatan dan menghormati harga diri serta menggalakkan tanggungjawab individu dan penyertaan komuniti terhadap kehidupan yang berkualiti, bagi mencapai wawasan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai individu, keluarga dan masyarakat yang sihat.

Dasar Kualiti

 

Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan sentiasa berusaha ke arah untuk menjadi sebuah institusi penjagaan kesihatan yang utama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Bagi mencapai cita-cita ini, perancangan telah diambil dengan mengambilkira keperluan, pesepsi dan ekspektasi pelanggan. Komitmen yang tinggi dari semua warga kerja dengan mengamalkan profesionalisma, khidmat penyayang dan kerja berpasukan akan dapat merealisasikan dasar kualiti yang didukung ini.

Hospital Tengku Ampuan Afzan sebagai sebuah pusat pengendalian penjagaan kesihatan yang cemerlang. Kecemerlangan ini akan dicapai melalui latihan, promosi kesihatan, inovasi dan penambahbaikan kualiti yang berterusan.

Sejarah Penubuhan

Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) telah wujud sebagai sebuah Hospital Daerah pada sekitar tahun 1904 di atas tapak tanah seluas 40.1 ekar di tengah-tengah pusat Bandar Kuantan. Bangunan berstruktur kayu yang beratap nipah menandakan wad-wad. Bangunan yang lebih kukuh yang beratap genting telah mula dibina selaras dengan keperluan yang kian meningkat. Pada masa itu, disiplin perubatan, wad-wad serta perkhidmatan adalah sangat terhad.

Pengasas penubuhan hospital ini dipercayai telah dipelopori oleh pihak British yang telah meletakkan asas perkhidmatan perubatan moden di negara ini. Sehingga Perang Dunia Kedua, pegawai perubatan yang menjaga hospital ini terdiri daripada orang-orang British yang di antaranya termasuklah Dr. Frazer.

current htaa

 Di zaman pemerintahan Jepun, Hospitah Daerah Kuantan ditadbir oleh seorang doktor melayu bernama Doktor Mohamad Said. Walaupun Negara ketika itu berada dalam kancah peperangan, namun operasi hospital ini tetap berjalan lancar dalam pemberian rawatan dan perkhidmatan kepada pesakit-pesakit yang terdiri daripada orang awam dan mangsa peperangan. Selepas penaklukkan semula Tanah Melayu oleh tentera British pada tahun 1945, hospital ini telah diterajui semula oleh British.

Apabila Negara mencapai kemerdekaan, kerajaan menyedari bahawa perkhidmatan perubatan perlu membangun seiring dengan pembangunan sosio ekonomi penduduk-penduduknya. Apabila kemerdekaan tercapai dalam tahun 1957, Ibu Negeri Pahang telah dipindahkan dari Kuala Lipis ke Kuantan. Selaras dengan perpindahan pusat pentadbiran negeri, Hospital Daerah Kuantan juga telah dinaikan taraf kepada Hospital Umum. Bangunan-bangunan struktur batu telah mula dibina bagi tambahan kepada bangunan-bangunan kayu yang sedia ada dengan perkembangan perkhidmatan serta rawatan baru.

Bermula dari detik ini, pembangunan Hospital Kuantan terus berkembang pesat sehinggalah terbinanya banggunan baru yang tersergam indah dengan kelengkapan peralatan serba canggih.

Pada 3 November 1995, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah telah berkenan untuk merasmikan bangunan baru Hospital Kuantan dan seterusnya berkenan menamakan Hospital Kuantan sebagai Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Alamat Kami

Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)
Jalan Tanah Putih, 25100 Kuantan,
Pahang
Email: htaa[at]moh[dot]gov[dot]my
Telefon: 09-5133333, 09-5133334,
09-5133335, 09-5131881, 09-5572222
Faks: 09-5142712

HTAA Sepintas Lalu

Peta Lokasi HTAA